KUALA LUMPUR: Kerajaan disyorkan meneliti dan mempertingkatkan semula insentif pekerja supaya memperoleh kehidupan selepas persaraan yang lebih terjamin.

Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, negara kini mempunyai ramai penduduk tua iaitu sebanyak 7.5 peratus dan dijangka akan meningkat kepada 15 peratus dalam tempoh terdekat.

Katanya, menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), negara yang mempunyai 70 peratus penduduk berumur 60 tahun ke atas dikira sebagai negara tua dan Malaysia tidak jauh dari itu.

“Kita tidak mempunyai banyak program yang menjurus ke arah persaraan dan pesara tidak mempunyai simpanan mencukupi selepas bersara.

“Kerajaan wajar melihat semula had tertinggi bagi pelepasan cukai, dan ia tidak sepatutnya dihadkan kepada RM6,000 saja. Kalau mahu buat caruman lebih, ia tidak patut disekat kerana ini untuk bekalan hari tua.

“Bagi pihak majikan, perbelanjaan untuk persaraan dihadkan kepada 19 peratus saja, ia perlu dilihat semula kepada tahap perbelanjaan yang lebih munasabah.

“Bagi skim persaraan swasta pula dihadkan kepada RM3,000 setahun, bagaimana pula bagi seseorang yang mahu membeli lebih?” katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.

Shamsuddin juga berkata pesara perlu diberi galakan untuk bergiat dalam ekonomi, bertujuan memberi rangsangan kepada diri untuk kekal cergas di samping mampu terus menyumbang kepada ekonomi negara.

“Setiap tahun seramai 200,000 pekerja swasta bersara, jika mereka terus bekerja, ia akan memberi pertambahan kepada lebih 1 juta pekerja.

Bagaimanapun, mereka perlu diberi latihan dan disediakan dengan teknologi terbaik untuk lebih cekap.

“Kita sarankan supaya mereka diberi insentif cukai, ia sebagai galakan kepada pesara untuk terus bekerja,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata Malaysia perlu mengkaji amalan di negara maju dalam menangani soal penuaan penduduk.

Katanya, jumlah simpanan di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak mencukupi bagi perlindungan dalam jangka panjang kerana orang tua sekarang mempunyai jangka hayat lebih panjang.

Justeru, jelasnya, perkara terbabit boleh ditangani menerusi sumbangan insurans ketika mereka masih bekerja.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), J Solomon, berkata keperluan bagi menjaga kebajikan dan juga kesihatan fizikal serta mental warga emas sangat serius.

Katanya, umum tidak boleh bergantung kepada KWSP saja, apatah lagi jika isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) yang mempunyai masalah simpanan.

“Jangka hayat rakyat di negara ini wajar dipuji, namun ada beberapa perkara yang perlu diambil perhatian seperti melaksanakan gaji minimum yang lebih relevan supaya simpanan KWSP juga mencukupi.

“Dasar kerajaan membenarkan pasaran mengawal harga barang adalah satu lagi langkah yang salah. Ini menyebabkan kos sara hidup meningkat dan nampaknya ia menjadi alasan yang untuk menindas gaji.

“Selain itu, dasar pekerja juga perlu diteliti semula, contohnya syarikat pekerjaan dilihat lebih berminat dan cenderung melaksanakan skim pra-pencen bagi mengelakkan mereka membayar gaji tinggi kepada pekerja dan pekerja tua diketepikan atau dilucutkan jawatan,” katanya – berita harian