Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Perak merintis galakan untuk atlit tempatan dengan muncul sebagai antara negeri terawal yang memberikan insentif sama kepada golongan atlet normal serta atlet para di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, perkara berkenaan dilakukan kerana Kerajaan Perak menganggap kedua-dua kategori atlet berkenaan sebagai sama.

“Kita antara negeri terawal yang menyahut hasrat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang mahukan agar imatlet biasa dan atlet para diberikan insentif yang sama.

“Bagaimanapun, paling penting adalah pengiktirafan daripada Sultan Perak, Raja Permaisuri dan Kerajaan Negeri, ” katanya.

Shahrul Zaman berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Penyampaian Skim Insentif Kemenangan Atlet Negeri Perak dan Program Satu Pingat, Satu Pokok Sukan SEA dan Para Asean Kuala Lumpur 2017, di Bulatan Amanjaya, Meru Perak, pada pagi Jumaat.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat bagi menyempurnakan majlis berkenaan.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dengan diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Pada majlis berkenaan seramai 32 pemenang pingat emas hadir bagi menerima insentif berkenaan.

Bagaimanapun katanya, jumlah sebenar atlet yang memenangi emas adalah lebih daripada jumlah berkenaan dan melibatkan acara sukan berpasukan.

“Bagi pemenang pingat emas mereka akan menerima RM3,000, Perak (2,000) dan gangsa RM1,000, manakala bagi acara berpasukan jumlah yang diterima adalah separuh daripada jumlah berkenaan, setiap seorang.

Sementara itu, Shahrul Zaman berkata, program Skim Insentif Kemenangan Atlet Negeri Perak itu dicetuskan sendiri oleh Sultan Nazrin.

Beliau berkata, ia akan menjadi menjadi suntikan semangat dan motivasi bagi atlet serta pelatih kontinjen negeri dalam Sukan Malaysia (SUKMA) di bawah program Kita Juara 2018 dan Program Podium Perak (P3).

“Semoga visi, misi dan objektif kita untuk menjadi juara SUKMA tahun hadapan akan menjadi kenyataan,” katanya.

“Daripada jumlah itu, 11 atlet adalah penyumbang pingat emas, tujuh pingat perak dan sembilan lagi adalah penyumbang pingat gangsa.

“Semua kejayaan ini jelas menunjukkan bahawa negeri Perak dari dahulu hingga kini berupaya dan akan terus melahirkan atlet bertaraf dunia,” katanya.