IPOH – Kerajaan negeri hari ini mengumumkan akan memberi insentif sehingga RM15,000 kepada pemain skuad Bos Gaurus jika layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, insentif itu diumumkan sebagai penyuntik semangat buat para pemain untuk membenam pasukan Sabah dalam perlawanan timbal balik Separuh Akhir Piala Malaysia pada Ahad ini dan 21 Oktober depan.

“Kita mahu suntik semangat mereka, RM15,000 itu akan diberikan kepada pemain kesebelasan utama pada dua perlawanan berkenaan manakala yang lain pula turut akan mendapat insentif, cuma jumlah mungkin sedikit berbeza sekiranya Perak berjaya melangkah ke perlawanan akhir nanti.

“Kerajaan negeri mahu kesemua pemain merebut tempat kesebelasan utama, berlatih bersungguh-sungguh, tunjukkan komitmen masing-masing, berjuang habis-habisan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis tengah hari bersama skuad The Bos Gaurus, di sini pada Khamis.

Tambahnya, beliau sendiri juga akan memberi imbuhan peribadi kepada pemain-pemain terbaik pada perlawanan separuh akhir itu nanti.

“Selain dari insentif kerajaan negeri, saya sendiri juga akan memberi imbuhan kepada pemain-pemain yang dirasakan beraksi dengan cemerlang.

“Seperti saya lakukan pada Sukan Malaysia (Sukma) sebelum ini, insentif peribadi itu akan diberikan kepada penjaring gol, barisan pertahanan atau penjaga gol sekiranya kita tidak bolos,” ujarnya.

Beliau juga memberitahu, insentif lain turut akan diberikan kepada pemain-pemain jika mereka berjaya membawa pulang Piala Malaysia ke negeri ini andai kata berjaya melangkah ke perlawanan akhir dan mengalahkan pasukan JDT atau Terengganu.