Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Polis menahan tiga orang suspek bagi membantu dalam siasatan kes kematian yang melibatkan dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada Jumaat lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Gan Tian Kee berkata hasil bedah siasat ke atas kedua-dua anggota di Jabatan Pathologist Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mendapati unsur-unsur penderaan.

“Bedah siasat ke atas anggota pertama, Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28 yang berjalan sekitar 3.30 petang Sabtu sehingga 7 malam mendapati punca kematian adalah disebabkan pendarahan paru-paru akibat trauma tumpul.

“Manakala bedah siasat ke atas mangsa kedua, Muhammad Lailal Tuiman Mohd Sukri,26 sekitar jam 9 malam sehingga 11.35 malam pula mendapati punca kematian adalah pendarahan paru-paru serta trauma tumpul pada tisu lembut mangsa,”katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Katanya, berikutan itu pihaknya telah menangkap tiga suspek sekitar pukul 9.30 malam Sabtu, dan masing-masing berusia 29, 37 dan 44 tahun.

Tian Kee berkata, ketiga-tiga suspek tersebut bertugas pada 29 September (Jumaat) iaitu dari 10 pagi hingga 10 malam dan kesemua mereka akan direman bagi membantu siasatan di Mahkamah Seri Manjung.

Tambahnya, polis juga mengumpul lapan laporan percakapan tahanan di lokasi selain 11 rakaman pengawal bilik tahanan, rampasan terhadap set Kamera Litar Tertutup (CCTV), tujuh baton dan sebuah buku log bertugas, buku log SOP ( perintah tetap bilik tahanan Unit Sungai Wangi) dan tiga buah telefon bimbit.

“Bedah siasat yang dilakukan ke atas kedua-dua anggota dipercayai ada berlakunya kes penderaan yang mendatangkan kecederaan, kes akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,”katanya lagi.