IPOH: Kejadian tiga anggota RELA dicederakan oleh seorang Datuk Seri di Ampang pada Jumaat lalu tidak akan mematahkan semangat ahli pasukan itu untuk terus bertugas menjaga ketenteraman dan keselamatan awam.

Wakil Kelab Bersekutu RELA Kinta, Kat Wong berkata, malah insiden tersebut hanya menguatkan lagi semangat semua anggota RELA di daerah itu untuk meneruskan tanggungjawab yang diamanahkan.

“Kami pegawai dan anggota RELA Daerah Kinta menyatakan solidariti kami kepada anggota-anggota RELA yang telah dicederakan oleh individu bergelar Datuk Seri di Ampang, Kuala Lumpur semasa menjalankan tugas di luar sebuah tokong.

“Kami juga menyatakan sokongan padu kepada semua anggota RELA yang melaksanakan tugas di seluruh negeri Perak tanpa mengira bangsa dan pangkat.

“Kami mengalakkan mereka semua agar melaksanakan tugas dengan berani dan tegas,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media khas di sini pada Selasa.

Pada masa sama, Wong mengutuk keras tindakan Datuk Seri itu yang didakwa cuba memberi wang sogokan RM10,000 kepada setiap mangsa bagi menarik semula laporan polis yang telah dibuat.
“Kita tidak boleh terima amalan sebegitu dan kita berdiri bersama Ketua Pengarah RELA, Zulkifli Abidin dalam isu mencederakan tiga anggota RELA oleh Datuk Seri terbabit yang kami anggap serius.

“Kami juga berharap insiden ini dapat membuka mata masyarakat bagaimana kami bertugas menjaga ketenteraman dan keselamatan siang dan malam serta risiko yang kami hadapi,” ujar beliau.