IPOH: Sebuah keluarga di Bercham yang berdepan dengan kejadian kebakaran misteri di rumah mereka tahun lalu kini dihantui dengan kejadian sama semalam.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi Isnin, kebakaran serentak secara tiba-tiba berlaku di bahagian depan dan juga langsir tingkap di ruang tamu.

Kebakaran misteri yang melanda rumah batu dua tingkat di nombor No 34 Taman Gemilan, Bercham itu hampir mengorbankan Mohd Shafiq Hassan, 18, dan anak saudarannya Meor Mohd Danish Meor Shahril yang berusia 11 bulan.

Ketika kejadian, keduanya sedang nyenyak tidur tetapi bau kain terbakar telah mengejutkan Mohd Shafiq.

Menurut Mohd Shafiq, apabila menyedari insiden itu, beliau terus mengendong anak saudaranya untuk menyelamatkan diri dengan cuba menolak pintu hadapan tetapi malangnya pintu tersebut dikunci dari luar.

Beliau kemudian berlari ke tingkat atas dan berjaya membuka pintu anjung dan menjerit meminta pertolongan jiran-jiran untuk menyelamatkan diri.

“Jiran-jiran yang mendengar jeritan saya telah datang membantu membawa tangga untuk membolehkan saya turun dari atap. Saya bersyukur kerana saya dan anak saudara dapat menyelamatkan diri,” katanya kepada Suara Perak pada Selasa.

Mohd Shafiq berkata ketika kejadian hanya dia dan anak saudarannya berada di rumah manakala kakaknya Norlizawati Hassan, 31, bekerja.

Keluarga tersebut yang menetap di rumah peninggalan arwah ayah mereka telah dihantui dengan insiden kebakaran misteri pada April tahun lepas.

Kejadian misteri itu telah mendapat liputan media berikutan kesukaran merungkai kejadian kebakaran yang berlaku secara tiba-tiba yang tiada kaitan dengan sistem pendaiwaian atau aliran eletrik.

Menurut Mohd Shafiq kebakaran misteri tersebut berhenti setelah kisah kebakaran yang berlaku dilaporkan media secara meluas tahun lepas serta usaha yang dilakukan keluarganya memulihkan rumah tersebut.

`Tetapi kini ia berulang kembali dengan kejadian semalam,” katanya.
Menurut Mohd Shafiq, sebaik sahaja diselamatkan jiran, Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) tiba untuk memadamkan kebakaran yang memusnahkan beberapa peralatan rumah, pakaian dan sebuah motosikal milik abangnya.

“Buat masa ini saya dan abang saya, Mohd Zazeli terpaksa menumpang sementara di rumah kakak saya di Taman Pakatan Bercham kerana rumah arwah bapa saya kini sudah tidak sesuai untuk didiami kerana diserang misteri kebakaran,” katanya.

Sementara itu Mohd Zazeli, 30, berkata, semasa kejadian pagi semalam dia sedang bekerja di sebuah bengkel kereta tidak jauh dari rumahnya apabila mendapat panggilan daripada kakaknya yang meminta beliau pulang segera kerana rumahnya terbakar.

“Sebaik sahaja mendapat panggilan, saya bergegas pulang dan terkejut apabila melihat rumah terbakar dan jiran-jiran sedang menggunakan tangga menyelamatkan adik saya Mohd Shafiq dan anak saudara saya,” katanya.

Menurut Zazeli, kebakaran misteri yang berlaku kali kedua ini dianggapnya paling menakutkan kerana sebahagian besar barangan berharga dalam rumahnya musnah menyebabkan beliau hanya tinggal sehelai sepinggang.

“Sekarang ini, saya tak tahu nak buat apa lagi sebab kalau dia nak terbakar, apa sahaja akan terbakar…tak kira siang atau malam. Saya dan adik memilih untuk tidak tinggal di rumah arwah ayah buat sementara waktu ini,” katanya.

Sementara itu menurut jurucakap Balai Bomba Ipoh, seramai 15 anggota dan dua jentera diketuai Pegawai Bomba Kanan, Kamarulzaman Subari mengambil masa hampir setengah jam untuk memadam dan mengawal kebakaran itu.

“Pihak bomba sedang menyiasat punca kebakaran misteri itu.’’kata jurucakap itu.

Sementara itu pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) Perak ketika dihubungi tidak dapat memberikan kenyataan berhubung kebakaran misteri itu.