PETALING JAYA : Dua lelaki yang terbabit dalam insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, dua minggu lalu didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan parah terhadap seorang orang awam dalam rusuhan itu.

Tertuduh, G Daniel, 33, pengawal keselamatan dan M Elangovan, 34, penghantar barang, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nurshahirah Abd Salim.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama dengan seorang lagi yang masih bebas, dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap Sulaiman Abdullah, 32 di hadapan kuil itu di Subang Jaya, di sini, pada 12.30 tengah hari, 26 November lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding itu juga, Elangovan turut berhadapan dengan dua lagi pertuduhan membabitkan insiden sama, di tempat dan masa sama membuat pengakuan tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa bersama-sama dengan 50 orang lagi ahli kumpulan yang menyalahi undang-undang dan masih bebas, dengan tujuan bersama menggunakan kekerasan dan menghalang laluan kenderaan kereta peronda polis untuk keluar dari kawasan kuil berkenaan.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan terakhir, lelaki itu didakwa menghalang tugas penjawat awam iaitu pegawai kanan polis, Inspektor Muhamad Nazmi Zulkafli, Sarjan Mohamad Faiz Abdul Rahim dan Korperal Ahmad Zamzam Mat daripada menjalankan tugas.

Bagi kesalahan terbabit, tuduhan dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Daniel diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin manakala Elangovan dilepaskan dengan RM12,000 dan seorang penjamin.

Selain itu, mahkamah juga menetapkan syarat tambahan terhadap kedua-dua tertuduh untuk melaporkan diri ke balai polis sebulan sekali serta pasport diserahkan sehingga kes selesai.

Sementara itu, mahkamah turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes ke Mahkamah Majistret 1 bagi dibicarakan bersama dan menetapkan 17 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Salim Soib @ Hamid, Shafiq Hasim, Amir Nasruddin dan Fairuz Johari manakala peguam Siti Rohaya Tajuddin mewakili kedua-dua tertuduh – berita harian