KUALA TERENGGANU: Seorang inspektor polis dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM125,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan rasuah bernilai RM25,000.

Tertuduh, Mohd Izzwan Jamalud Din, 35, bagaimanapun gagal menjelaskan denda dan perlu menjalani hukuman penjara tambahan 36 bulan lagi, menjadikan keseluruhannya 72 bulan atau enam tahun penjara.

Hakim Mohamad Haldar Abd Aziz menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh didapati bersalah mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana menerima rasuah dan Seksyen 16 (a)(B) akta sama kerana meminta rasuah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa secara rasuah menerima suapan wang tunai bernilai RM5,000 daripada Syahrull Sharahudeen sebagai dorongan untuk tidak menangkap Syahrull yang disyaki terbabit kesalahan dadah mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Tertuduh yang ketika itu bertugas sebagai Inspektor Penyiasat Narkotik G di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Hulu Terengganu, didakwa melakukan kesalahan terbabit pada kira-kira jam 6.25 petang 20 Ogos 2015 di belakang restoran KFC di Kuala Berang.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa secara rasuah meminta suapan bernilai RM20,000 daripada Syahrull yang disyaki terbabit kesalahan dadah sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Syahrull.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah beralamat di Kampung Durian Kassim, Ajil, Hulu Terengganu, kira-kira jam 8 malam 15 Ogos 2015.

Bagi pertuduhan pertama, Mohamad Haldar menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM25,000 serta tambahan 12 bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM100,000 serta tambahan 24 bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda itu.

Bagaimanapun, Mohamad Haldar memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh sabitan kes.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM,Mohamad Fadly Mohd Zamry, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Amirul Ridzuan Haniff – berita harian