SHAH ALAM: Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), malam tadi, kerana disyaki menyalahgunakan kuasa untuk meminta rasuah.

Difahamkan, suspek berusia 31 tahun yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang itu meminta dan menerima wang RM7,000 daripada seorang lelaki yang sedang disiasat atas kesalahan mengugut.

Sumber berkata, siasatan dijalankan ke atas individu itu selepas polis menerima satu laporan menyatakan dia mengugut teman wanitanya.

“Bagaimanapun, pegawai polis itu mengambil kesempatan meminta wang rasuah supaya tindakan tidak diambil ke atas individu terbabit.

“Bertindak atas maklumat, pegawai lelaki itu kemudian ditahan di IPD Serdang, kira-kira jam 8.45 malam tadi,” katanya di sini, hari ini.

Kata sumber itu, kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan berkenaan dan berkata suspek akan direman bagi membantu siasatan – berita harian