INSPEKTOR polis direman tiga hari bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan wang berjumlah RM10,000, minggu lalu.

Perintah ke atas lelaki berusia 33 tahun itu dikeluarkan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi di Mahkamah Majistret Klang, hari ini.

Mahkamah membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Sumber SPRM berkata, pegawai yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang itu ditahan di restoran di Taman Sentosa Villa, Kajang, pada 9.10 malam tadi.

“Penahanan dilakukan susulan laporan seorang lelaki berusia 44 tahun yang mendakwa suspek meminta wang balasan bagi mengurangkan jumlah pertuduhan anak lelakinya berusia 19 tahun.

“Remaja itu ditahan polis pada 3 April lalu kerana memiliki barang curi mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sumber itu berkata, pegawai polis berkenaan didakwa meminta wang pada 16 Mei lalu sebelum pengadu tampil membuat laporan kepada SPRM cawangan Klang semalam – berita harian