IPOH: Intergriti di kalangan penjawat awam di negeri Perak masih terkawal, lebih-lebih dengan adanya jawatankuasa intergriti yang dipengerusikan sendiri Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata, beliau sendiri sebagai Timbalan Pengerusi jawatankuasa itu yang turut dianggotai oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut beliau, isu-isu intergriti yang sering diperkatakan sebelum ini seperti penguatkuasaan dan isu pasir telah berjaya dikurangkan.

“Yang penting pada saya ialah intergriti daripada kita sendiri dan kalau ikut kepada komitmen kita, di Perak insya Allah terkawal,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah SPRM Perak, Datuk Zainul Darus, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Datuk Abu Bakar Said dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Nor Eni Ismail.

Pejabat SUK Perak menjadi pejabat kerajaan Perak yang ke 107 menandatangani IBR, di samping 20 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri ini.

Sementara itu, Zainul berkata, pihak SPRM bersedia untuk membantu kerajaan negeri dari aspek penguatkuasaan rasuah di kalangan penjawat awam di negeri ini.

intergriti_penjawat_awam 2

Di samping itu, kata beliau, pihaknya juga bersedia membantu untuk melihat semula prosedur-prosedur lapuk dan perkara-perkara yang berkaitan perundangan, prosedur dan kod etika untuk mengurangkan peluang melakukan rasuah.

Terdahulu, di dalam ucapannya, Abdul Puhat berkata, intergriti yang dimaksudkan bukan sahaja mengelak daripada perlakuan rasuah dan penyelewengan kuasa, malah ia seharusnya diterjemahkan dalam skop yang lebih besar, merangkumi pengurusan masa, pentadbiran dan perkhidmatan terbaik.

“Kita perlu sedar bahawa scenario dan lanskap perkhidmatan awam dulu dan kini jauh berbeza dan kita berhadapan dengan rakyat yang lebih berpengetahuan, lebih vokal dan menyuarakan pandangan mereka secara terbuka,” ujar beliau.

Beliau berharap dengan pelaksanaan IBR itu, warga SUK Perak dapat meningkatkan kesedaran dan seterusnya menerapkan nilai intergriti yang tinggi.