MUALLIM: Ibu Pejabat Polis Daerah Muallim akan melaksanakan Sekatan Jalan Raya (SJR) di Kilometer (KM) 388 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara kawasan Behrang mulai hari ini, Sabtu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Daerah Muallim, Supt. Sulizmie Affendy Sulaiman, susulan itu pengguna PLUS dinasihatkan supaya berhati-hati dan memperlahankan kenderaan apabila menghampiri SJR itu.

Ujarnya lagi, tujuan SJR itu dibuat adalah untuk menghadkan perjalanan orang ramai agar mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung wabak Covid-19.

Tegasnya, orang ramai yang didapati ingkar arahan PKPB dengan membuat pergerakan rentas negeri tanpa sebarang alasan yang munasabah serta tiada permit kebenaran daripada pihak polis akan dikenakan kompaun mengikut Peraturan 6 (3) PPPB 2020 dan denda sebanyak RM 1,000.