IPOH: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah muncul juara keseluruhan Kejohanan 10 Pin Boling Piala Ketua Polis Perak 2018 yang berlangsung di Ipoh Bowl, Kinta City, di sini, hari ini.

Tempat kedua keseluruhan dimenangi IPD Sungai Siput manakala IPD Taiping di tempat ketiga.

IPD Perak Tengah turut memenangi kategori empat sepasukan lelaki diikuti IPD Sungai Siput dan Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Perak.

Bagi kategori empat sepasukan wanita pula, IPD Taiping muncul juara diikuti IPD Kampar dan IPD Ipoh.

Sebanyak 46 pasukan dari pelbagai jabatan dan daerah mengambil bahagian di dalam kejohanan itu yang melibatkan 184 pemain.

Hadiah-hadiah disampaikan Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain yang mewakili Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan.

Razarudin di dalam ucapannya berkata, kejohanan itu adalah antara wadah untuk  memupuk budaya bersukan di kalangan warga Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Perak di samping mencungkil bakat baru di kalangan mereka.

“Pendedahan ini perlu dilaksanakan secara berterusan dan sistematik supaya impaknya nanti dapat dikecapi, seterusnya melahirkan para atlet yang hebat serta turut mewakili kontinjen Perak ke Kejohanan Boling 10 Pin Piala Ketua Polis Negara yang dijangka berlangsung pada 24 hingga 27 Julai di Johor,” katanya.

1/3