Oleh: Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping muncul sebagai daerah ketiga terbaik dalam pengendalian kualiti keselamatan jalan raya di seluruh negara, sempena Op Selamat Tahun Baru Cina (TBC) 2017.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata, pengikfirafan itu adalah hasil kerjasama erat serta disiplin semua pegawai dan anggota, khususnya di Bahagian Trafik.

Menurut beliau, pihaknya juga memastikan pegawai dan anggota sentiasa bersiap siaga di kawasan hotspot kemalangan dan mengendalikan sebarang insiden dengan penuh integriti dan profesional.

“Pegawai dan anggota juga harus berada di lokasi yang telah dikenalpasti akan mengalami kesesakan terutamanya waktu kemuncak,” katanya kepada Suara Perak.

IPD Taiping menerima anugerah ketiga terbaik itu yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Polis Negara,Tan Sri Noor Rashid Ibrahim pada pagi Rabu.

Harrith Kam berkata, sepanjang Op Selamat itu, tiada kemalangan maut dilaporkan di daerah Taiping, berbanding 4 kes maut dalam operasi yang sama tahun lalu, manakala
jumlah saman trafik melibatkan enam kesalahan lalulintas adalah sebanyak 727.

Jelas beliau, perancangan strategik dan penugasan pegawai serta anggota Bahagian Trafik Taiping yang amanah dan professional telah memberi keyakinan kepada pengguna lalulintas.

“Tahniah, dan syabas kepada semua yang terlibat dan saya harap penganugerahan ini akan merangsang mereka berusaha mencapai prestasi lebih baik,” ujarnya.