IPOH: Perak merupakan negeri yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai hab pendidikan Malaysia berikutan pelbagai medium bersesuaian untuk pembelajaran.

Pandangan dilontarkan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Andrew Goledzinowski yang menyuarakan minat untuk membangunkan beberapa institusi pendidikan di Bandaraya Ipoh.

Kagum dengan variasi nilai estetika serta kekayaan sumber alam di Perak,Andrew juga berkata mereka sedar mengenai kejayaan dan kredibiliti Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang telah melahirkan beberapa tokoh ternama yang merupakan produk negeri ini.

Andrew berkata, ini kali pertama beliau berjumpa dengan kepimpinan kerajaan negeri di Perak dan pertemuannya dengan Menteri Besar Perak, YAB Ahmad Faizal Azumu merupakan sesuatu yang amat memberangsangkan.

Katanya, pemahaman serta pengetahuan mendalam Ahmad Faizal terhadap Australia mendorongnya berasa yakin dengan hubungan Australia-Malaysia, khususnya negeri Perak untuk menjadi lebih akrab di masa hadapan.

“Saya sangat tertarik dengan pandangan serta pengetahuan beliau, mengetahui secara mendalam dan kritis selok-belok pelaburan di Australia di sekitar Ipoh, malah saya boleh katakan lebih baik berbanding saya.

“Beliau katakan kepada saya supaya membawa masuk lebih banyak pelabur ke sini dan saya jawab, itu memang tugas saya,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Ahmad Faizal sekitar jam 4.00 petang tadi di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.

Sementara itu, Andrew berkata, rombongannya juga ke Dataran Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) dan Perkuburan Tentera di Taiping pada Jumaat bertujuan memperingati peristiwa Darurat Malaysia yang ke-70 tahun.

Katanya lagi, dalam peristiwa bersejarah itu, ramai tentera Australia turut menjadi korban dalam pertempuran menentang askar komunis di Tanah Melayu.

Andrew, adalah duta asing pertama yang berkesempatan melaksanakan kunjungan hormat kepada Ahmad Faizal, selepas mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak, pada 12 Mei lepas.