Perit rasanya apabila mengetahui bukit yang menjadi sasaran para penggemar pendaki dan kebanggaan warga Ipoh kini seperti tidak dipedulikan.

Beberapa pembaca Suara Perak telah mengajukan luahan hati dan gambar yang telah diambil oleh mereka mengenai keadaan Bukit Kledang yang menjadi tumpuan orang ramai kini seolah-olah terbiar tanpa sebarang pembersihan malah penjagaan.

Justeru, Suara Perak telah meninjau dan melihat sejauh mana kebenaran keadaan di sekitar Bukit Kledang yang dikatakan tidak terurus dan tandas yang tidak mempunyai fasiliti asas bagi pengunjung.

kledang2

Hampa.

Mungkin itu sahaja komen yang boleh diberikan oleh Suara Perak kerana sebaik sahaja tiba di laluan masuk kedua iaitu jalan alternative yang digunakan, pemandangan sekumpulan monyet liar yang membongkar dan merobek tong sampah di laluan sudah cukup membuatkan pengunjung berasa tidak senang.

Barangkali itu habitatnya, tapi apakah yang dilakukan oleh pihak berwajib untuk memastikan kawanan monyet itu tidak mengganggu para pengunjung yang datang setiap hari untuk bersenam dan meluangkan masa riadah mereka.

Angela Lim, seorang pengunjung tetap di kawasan itu berkata kehadiran monyet liar tersebut adalah berpunca daripada beberapa gerai buah-buahan yang beroperasi di laluan masuk dan sisa jualan mereka akan menarik haiwan tersebut.

“ Mungkin ini kawasan tempat tinggal monyet, dan adakalanya mereka tidak menganggu tetapi ada di antara keluarga yang membawa anak kecil akan berasa takut untuk menaiki bukit ini kerana risau diganggu oleh haiwan tersebut.

“ Saya nasihatkan agar perkara ini diambil perhatian segera kerana mungkin kini ianya tidak merbahaya tetapi bagaimana pula kalau lebih ramai gerai dibuka, lebih banyak sampah dibuang dan mereka akan bertindak ganas satu hari nanti?,”katanya kepada Suara Perak.

kledang3

Sementara itu, tinjauan Suara Perak di sekitar Bukit Kledang pula mendapati beberapa fasiliti asas seperti tandas tidak mempunyai bekalan air, jubin di lokasi senaman yang pecah, keadaan pondok rehat yang usang malah kerusi rehat pun seolah-olah dihiasi rumput liar di sekelililingnya.

Suara Perak juga sempat menemuramah beberapa pendaki setia dan mereka mengatakan pihak yang memotong rumput dan membersihkan sampah hanya datang tanpa jadual yang tetap.

  1. Magendran, yang telah menjadi pendaki bukit tersebut lebih daripada sepuluh tahun lepas berkata antara sebab utamanya adalah mentaliti pengunjung yang masih lagi tidak bertamadun.

“Saya nampak sendiri perubahan yang ada di Bukit Kledang ini, saya akui banyak telah dinaiktaraf tetapi selepas itu seperti dibiarkan dan mereka yang menguruskannya hanya datang bermusim.

kledang4

“Selain itu, sikap, tabiat dan kebiasaan pengunjung yang mendaki bukit ini yang sesuka hati membuang sisa makanan atau minuman mereka sebenarnya punca kepada persekitaran ada pada hari ini, ini harus diubah dengan segera atau Ipoh tidak akan menjadi bandar “Bersih dan Hijau” ,”katanya lagi.

Soalnya, di manakah pengurusan pihak berwajib untuk hal ini dan jika dibiarkan berterusan maka kualiti Perak dan Ipoh yang tersenarai dalam Lonely Planet mungkin bukan lagi ukuran untuk pelancong dalam dan luar Negara kelak.