IPOH: Bandaraya Ipoh gempar dengan kehadiran lebih 300 lelaki yang sebahagiannya lengkap bertopeng merusuh sehingga menebalikkan sebuah kenderaan berdekatan kediaman rasmi Menteri Besar Perak dan Istana Kinta di Jalan Raja Dr Nazrin Shah, pada petang Ahad.

Selain melaungkan slogan-slogan yang menentang kerajaan, sekumpulan lelaki itu juga turut membakar beberapa biji tayar terpakai sehingga menimbulkan suasana cemas di kalangan penduduk bandar ini yang berada di sekitar tempat kejadian.

ipoh-rusuh 2Kekecohan yang berlangsung selama hampir 45 minit itu bagaimanapun berjaya dikawal dengan kehadiran lebih 500 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melibatkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Pasukan Gerakan Am (PGA), Trafik dan Unit Pencegah Rusuhan (PORU).

Kesemua 300 lelaki berkenaan yang berjalan menuju ke arah Istana Kinta sambil membaling botol minuman ke arah anggota keselamatan yang membuat halangan bertempiaran lari selepas gas pemedih mata dilepaskan oleh PORU sambil ditembak oleh meriam air daripada lori milik FRU.

Namun situasi tersebut hanya merupakan sebahagian dairpada Latih Amal Ex-Undi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang diadakan oleh Polis Perak.

Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, ianya adalah latihan untuk memantapkan persediaan anggotanya menjelang PRU-14 akan datang.

ipoh-rusuh 6“Kita perlu mantapkan kemahiran serta profesionalism anggota-anggota sehingga tahap 100 peratus, hari ini kita berjaya mantapakan penugasan PDRM sehingga 99 peratus hanya 1 peratus sahaja lagi perlu kita baiki.

“Senario yang kita lakukan hari ini adalah berkenaan dengan beberapa pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan PRU-14 lalu mendesak Menteri Besar untuk menyerahkan kuasa sebagai kerajaan kepada mereka kemudian menuju ke Istana Kinta,” katanya ketika ditemui selepas latihan terbabit.

Tambah beliau, latihan seperti itu akan diteruskan dari masa ke semasa bagi memastikan pihaknya betul-betul bersedia untuk menangani sebarang masalah yang bakal timbul pada sebelum, ketika dan selepas PRU-14.