Oleh: Nazialita Geynna Maharan 

IPOH: Niat mereka ikhlas untuk membantu golongan yang memerlukan, selain meringankan beban kehidupan penduduk di sekitar Ipoh.

Namun, tidak semua yang memahami erti sebenar amal jariah yang dilakukan oleh Ipoh Halal Food (IHF) malah ramai yang bertindak mengecam dan melemparkan kejian terhadap insan berhati mulia itu.

Pengurus Program IHF, Wan Norashikin Noran berkata, sangkaan buruk, herdikan dan kata nista daripada pelbagai pihak seolah-olah sudah menjadi asam garam hidup beliau sebagai sukarelawan.

“Saya didekati oleh IHF untuk menguruskan program mengedarkan bubur lambuk di bulan Ramadan. Selepas itu, saya aktif mempromosikan kedai makan dan kafe serta restoran di Ipoh, dan mengajak mereka terlibat dalam amal jariah bersama anak yatim dan sebagainya,” katanya kepada Suara Perak.

Beliau yang mesra dipanggil Putri berkata, penghijrahan beliau mendapat reaksi negatif daripada rakan-rakannya malah ada yang mengatakan tindakan itu sebagai cubaan mengambil kesempatan semata-mata.

“Saya diherdik; saya dipulaukan oleh rakan-rakan sendiri yang saya sangka akan sentiasa menyokong saya dalam memperjuangkan nasib golongan memerlukan. Saya hilang kawan ketika saya ikhlas membantu orang dengan kudrat yang ada,” katanya.

Putri, 41, bernasib baik kerana program IHF kendaliannya mendapat sokongan padu daripada pemilik kafe yang sentiasa memberikan sumbangan seperti makanan asas dan keperluan harian untuk aktiviti kebajikan.

“Ada yang mengata kami ini riak, mencari publisiti murahan apabila aktiviti sumbangan dikongsi di media sosial, sedangkan niat kami adalah memberitahu bahawa sumbangan yang diamanahkan telah sampai kepada penerimanya. Biarlah dihina, selagi ada kudrat saya akan teruskan,” katanya.

IHF kini dianggotai oleh 20 orang sukarelawan dari golongan profesional yang terdiri daripada pengamal perubatan dan mahasiswa sekitar Perak. Pertubuhan itu telah berjaya membantu lebih 100 keluarga di Ipoh sejak penubuhannya pada tahun 2010.

NGO yang bergerak aktif membantu gelandangan dan miskin bandar itu turut mendapat sokongan daripada individu, ahli politik dan syarikat swasta yang sentiasa memberi sumbangan dalam pelbagai bentuk.

Pengasas IHF, Azlan Mohamed Shukri berkata, pertubuhan itu pada mulanya diwujudkan bagi mempromosi tempat makan halal di Ipoh namun ia akhirnya berubah secara positif untuk berbakti kepada warga kota itu.

“Kami menggalakkan peniaga bersedekah. Daripada galakan itu, maka wujudlah Kembara Bakti yang disertai oleh pelajar universiti, agensi tempatan dan orang awam yang memberi makanan kepada gelandangan, di hospital dan sebagainya, sebelum ia diperluaskan ke keluarga asnaf,” katanya.

Baru-baru ini, Azlan memberitahu, IHF telah berkolaborasi dengan beberapa NGO lain di sekitar Ipoh bagi melaksanakan projek #BeratSamaDipikul untuk melancarkan komunikasi sesama NGO terbabit dalam membantu mereka yang memerlukan.

Sementara itu, seorang lagi sukarelawan IHF, Adnan Azizi Syed Abidin berkata, NGO itu seringkali bertindak sebagai pemudahcara di antara golongan daif miskin dengan agensi berkaitan.

Beliau menyatakan, soal selidik dan kajian dibuat bagi memastikan kesahihan aduan yang diterima dan apabila ia dipaparkan kepada umum atau disalurkan kepada agensi berkenaan, ia sama sekali tidak bermaksud untuk memalukan pengadu terlibat.

“Bukannya kami sesuka hati memberi sumbangan, membantu atau mengemukakan masalah mereka kepada orang ramai tanpa sebarang usul periksa, itu sudah salah dan kami tahu ia salah,” katanya.

Menurut beliau, IHF tidak pernah berniat untuk menjatuhkan kredibiliti mana-mana pihak malah bersedia bekerjasama untuk melicinkan proses mengenalpasti keluarga yang boleh menerima ehsan atau bantuan kewangan bulanan.

“Malah, semua ini kami lakukan tanpa dibayar gaji dan menghabiskan masa dan tenaga tanpa meminta balasan. Kami memohon, doakanlah kami agar kerja amal ini berterusan selagi kami terdaya,” katanya.