IPOH: Kerajaan negeri Perak merancang untuk menjadikan Ipoh sebagai hab seni dan budaya, untuk menarik lebih ramai pelancong, bukan hanya sebagai syurga makan minum sahaja.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Keseniaan dan Kebudayaan negeri, YB Tan Kar Hing berkata, selaras dengan itu, pihaknya merancang menaiktaraf beberapa tempat berpotensi seperti Waller Court, Pekan Lama dan pesisir Sungai Kinta.

Beliau berpendapat, elemen seni dan budaya perlu diserapkan sekali di dalam industri pelancongan kerana Ipoh bukan destinasi `touch & go’ semata-mata.

“Kita mendapat sokongan beberapa pihak swasta untuk membantu melalui program CSR (tanggungjawab sosial korporat) mereka di samping anak Perak yang menjadi arkitek lanskap,” katanya dalam sidang media sempena pengambaran tempat-tempat menarik oleh media Singapura, CAO Parties yang diketuai pelakon popular negara itu, Terence Cao di Hotel Weil di sini, hari ini.

Hadir sama Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian China Perak (PCCI) yang juga pemilik Hotel Weil, Datuk Liew Sew Yee.

YB Tan berkata, bagi menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini, kerajaan negeri sedang berunding dengan beberapa syarikat penerbangan untuk beroperasi di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini.

Beliau memberitahu, syarikat penerbangan Airasia akan menawarkan penergangan dari Ipoh – Johor Bharu sebanyak empat kali seminggu, bermula 1 Oktober depan.

“Selain daripada itu, saya juga diberi mandat untuk mengadakan perbincangan dengan dua buah lagi syarikat penerbangan yang akan diumumkan dalam masa terdekat,” ujarnya.

Beliau menambah, sejajar dengan perkembangan itu, kemudahan-kemudahan yang terdapat di LTSAS juga harus dipertingkatkan.

Dalam pada itu, YB Tan berkata, kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha untuk meningkatkan lagi sektor pelancongan di negeri ini, termasuk yang dilakukan oleh pihak CAO Parties yang bekerjasama dengan Hotel Weil dan Asia Car Rental.

Sehubungan itu, beliau mempelawa syarikat itu untuk datang lagi tahun hadapan untuk pengambaran lebih banyak tempat menarik, bukan sahaja di Ipoh tetapi juga di tempat-tempat lain di seluruh Perak.

Sementara itu, Terence Cao berkata, pihaknya akan berada di Ipoh sehingga 21 Julai ini untuk mengadakan pengambaran banyak tempat menarik, selain makanan popular seperti ayam taugeh.

Beliau menambah, pihaknya merancang untuk mengadakan sekurang-kurangnya empat episod yang berdurasi 10 – 12 minit untuk disiarkan di media-media sosial seperti Facebook dan Youtube.