IPOH– Kejayaan yang dicipta oleh Orang Kelainan Upaya (OKU) dalam bidang sukan selama ini menjadi pendorong bagi projek perintis Hari Sukan Terbuka OKU Halcyon yang berlangsung di Ipoh.

Dalam masa yang sama, Ipoh akan menjadi lokasi pertama bagi program sukan OKU yang dianjurkan oleh syarikat Halcyon Agri dengan kerjasama Bali Sport Foundation (BSF) Asia dengan sokongan dari kerajaan negeri.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Howard Lee Chuan How, kerjasama yang digembleng bersama pihak swasta ini menjadi titik permulaan dalam pembangunan sukan di Perak khususnya.

“Kesudian pihak swasta untuk melabur masa bagi memperkasakan agenda pembangunan sukan para bukan saja di Perak tetapi juga antarabangsa di mana kita ada BSF dan Halcyon yang bertapak di Chemor.

“Ia membawa lembaran baru kepada sukan, khususnya sukan OKU.Untuk kita transisi dari sukan yang memakan belanja semata-mata ke arah sukan menjadi penyumbang ekonomi, saya harap hubungan ini dapat dijalin secara formal dan strategik untuk kebaikan semua,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Hari Sukan Terbuka Orang Kelainan Upaya Halcyon di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Poi Lam, di sini pada Ahad.

Yang turut sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Sosial, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Wong May Ing; Ketua Pegawai Eksekutif Halcyon Agri, Robert Meyer; Pengarah Urusan Halcyon Rubber Company, Leonard Beschizza dan Pengasas BSF Asia, Rodney Holt.

Dalam pada itu, Leonard berkata, terdapat enam jenis sukan yang dipertandingkan iaitu bola sepak untuk cacat penglihatan, badminton, ragbi berkerusi roda, bola keranjang, boling padang dan boccia.

“Sehingga kini 80 orang peserta telah berdaftar, latihan akan dijalankan di SJKC Poi Lam, acara sukan ini dijangka dilaksanakan sekitar Ogos nanti dan lokasi masih dalam peringkat perbincangan,” katanya.