IPOH : Ipoh Mobile Photography V.3 berjaya menarik hampir 200 penyertaan, kebanyakannya dari anak muda dari seluruh negeri Perak.

Pertandingan fotografi menggunakan telefon pintar itu dianjurkan kali ketiga Koloni Karyawan Amanjaya (PORT) dengan sokongan Tourism Perak, Tourism Malaysia Negeri Perak dan Geopark Lembah Kinta.

Pengurus Besar PORT, Zamari Muhyi, jika pertandingan kali pertama bertemakan Ipoh Kota Seni dan kedua Food Attact V.2, pertandingan kali ketiga ini bertemakan Kueh Tempatan Perak.

“Kita mendapat sambutan yang cukup baik, khususnya anak-anak muda dari berbilang kaum, sekaligus mempopularkan semula kueh-kueh tempatan kita,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang.

Hadir sama Pengurus PORT, Syed Zarul Hisham Syed Khairuddin.

Pertandingan kali ketiga itu berlansung dari 15 Disember 2018 dan berakhir pada 15 Januari lalu.

Zamari berkata, pihaknya akan meneruskan pertandingan kali keempat dan telah mengenal pasti tema yang akan digunakan.

“Untuk kali keempat, kita merancang untuk memanjangkan masa pertandingan daripada sebulan kepada dua bulan, untuk menarik sekurang-kurangnya 300 penyertaan,” ujarnya.

Sementara itu, pada pertandingan kali ketiga, Muhammad Syafik Zainal dari Kamunting muncul pemenang tempat pertama dengan foto kueh bahulu yang dirakamkan di Pasar Pagi Kamunting.

Tempat kedua dimenangi Nooreman Noor Faadi dengan foto sepit gulung dan ketiga Norazwani Ibrahim (bingka / bengkang ubi kayu).

Tempat pertama menerima wang tunai RM500 dan sijil, kedua RM300 dan sijil manakala tempat ketiga RM200 beserta sijil.

Tempat kelima hingga 15 pula menerima hadiah hamper dan sijil.