KUALA LUMPUR: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia meningkat sebanyak 2.9 peratus bagi tahun ke tahun kepada 137.7 pada Disember 2017, dipacu oleh pertumbuhan positif dalam pengeluaran sektor pembuatan dan elektrik.

Dalam satu kenyataan hari ini, Jabatan Perangkaan Malaysia berkata indeks pembuatan meningkat 5.3 peratus pada bulan tersebut manakala elektrik menokok 3.9 peratus.

Bagi asas tahun ke tahun, kata jabatan itu, sektor pembuatan meningkat pada Disember 2017, didorong oleh pertumbuhan dalam subsektor utama iaitu produk makanan, minuman dan tembakau sebanyak 17 peratus; produk petroleum, kimia, getah dan plastik (3.6 peratus) serta produk peralatan elektrik dan elektronik (4.1 peratus).

Indeks perlombongan mencatat penurunan sebanyak 4.1 peratus berikutan penyusutan indeks minyak mentah (-5.0 peratus) dan indeks gas asli (-3.2 peratus) -BERNAMA