KOTA BHARU: Pengendali Terengganu FC (TFC I), Irfan Bakti Abu Salim mengakui sedikit terkilan apabila hasrat untuk mengutip tiga mata menentang Kelantan tidak menjadi kenyataan dalam perlawanan Liga Super, di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV malam tadi.

Sebelum wisel permainan bermula, Irfan Bakti sudah menjangkakan skuadnya mampu menjinakkan skuad The Red Warriors (TRW) selepas melihat aksi pasukan itu menentang Melaka United pada perlawanan lalu tidak mempunyai ‘bisa’.

“Saya jangkakan akan mendapat tiga mata selepas tengok Kelantan lawan Melaka United bermain dengan buruk sekali tapi kali ini Kelantan beraksi baik pula.

“Mungkin disebabkan Kelantan ada membuat pertukaran beberapa pemain bagi perlawanan ini sekali gus mengubah rentak permainan mereka.

“Selain itu, saya akui pemain saya lambat bertindak menyebabkan permainan tidak menekan walaupun saya menjangkakan mereka akan lebih memberi tekanan selepas menjaringkan gol awal minit pertama pada perlawanan ini,” katanya pada sidang media, di sini, malam tadi.

Namun Irfan tetap berpuas hati sekalipun terpaksa berkongsi satu mata dengan lawan dan usaha lebih keras dituntutnya daripada pemain pada perlawanan seterusnya.

“Pasukan sudah bermain dengan baik tapi tidak menjaringkan gol…kelemahan itu perlu diperbaiki pada perlawanan akan datang.

“Selepas ini kita akan bertemu kelab lebih besar seperti Selangor dan sudah tentu lagi besar cabaran yang bakal ditempuhi,” katanya.-berita harian