ISTANA Negara mengesahkan penerimaan dua dokumen untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V bagi mengadakan istiadat mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri.

Menerusi kenyataan media, dokumen pertama diterima pada 1.38 tengah hari tadi oleh Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong, Datuk Nik Mohd Shafriman Nik Hassan, adalah warkah makluman ditandatangani ketua daripada beberapa parti politik untuk mencalonkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Ketujuh.

Nik Mohd Shafriman kemudian dimaklumkan menerima keputusan penuh PRU-14, mencakupi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah pada 2.45 petang tadi.

Penerimaan dua dokumen berkenaan kini menanti perkenan Sultan Muhammad V bagi mengadakan istiadat mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri dalam tempoh terdekat – hmetro