IPOH : Isteri Allahyarham Mejar Mohd. Zahir Armaya, Nour Shafinar Harun, 31, tidak menyalahkan mana-mana pihak berhubung insiden yang menimpa suaminya.

Menurutnya, dia reda dengan ketentuan Ilahi dan menganggap kejadian yang meragut nyawa suaminya itu adalah kemalangan semasa dalam latihan.

“Saya sebagai isteri tidak menyalahkan mana-mana pihak dan saya reda dengan ketentuan Ilahi.

“Saya juga anggap ini adalah kemalangan di dalam latihan kerana mereka berdua (arwah dan rakan setugas) merupakan penembak tepat,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah keluargannya di Taman Perpaduan, Ulu Kinta di sini hari ini.

Terdahulu, Nour Shafinar menerima kunjungan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim yang berkenan berangkat mengunjunginya di kediaman ibu bapanya itu pada pukul 12.30 tengah hari.

Baginda meluangkan masa kira-kira 30 minit berbual sambil bertanya khabar Nour Shafinar dan anak-anak selain turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada wanita tersebut.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Omar Mammah semalam dilaporkan berkata, siasatan terhadap insiden Mohd. Zahir yang maut terkena tembakan dalam demonstrasi di Kem Lok Kawi, Sabah, Rabu lalu menjurus kepada faktor kecuaian.

Omar berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan dan beberapa individu akan dipanggil untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, setakat ini 11 individu termasuk anggota tentera yang terbabit dengan insiden tembakan itu dipanggil bagi memberi keterangan.