BEAUFORT: Seorang wanita bukan saja diacukan senapang tetapi turut ditumbuk oleh suaminya yang mabuk dalam kejadian di Kampung Gorowot, Kuala Penyu, dekat sini, semalam.

Menurut sumber, dalam kejadian jam 9 malam itu, wanita berusia 30-an berkenaan baru pulang dari rumah ibunya apabila dia tiba-tiba dimarahi suaminya yang juga berusia 30-an, dalam keadaan mabuk.

Sumber berkata, berlaku pergaduhan antara pasangan suami isteri itu di hadapan anak mereka yang berusia lapan tahun.

Suspek kemudian bertindak mengambil senapang buatan sendiri yang disimpannya di bahagian dapur sebelum bertindak memasukkan peluru ke dalamnya dan menghalakan senjata itu ke arah isteri dan anaknya.

Bagaimanapun, wanita itu kemudian menjerit cuba mendapatkan pertolongan daripada jiran sebelum suaminya bertindak menyimpan senjata itu di dalam kereta sebelum menumbuk mulut wanita terbabit.

Wanita itu bersama anaknya berjaya melarikan diri ke rumah ibunya dan meminta bantuan sebelum bertindak melaporkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak, ketika dihubungi, mengesahkan bahawa pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Suspek adalah suaminya sendiri dan dipercayai dalam keadaan mabuk. Suspek sudah melarikan diri namun polis sedang mengesannya,” katanya – berita harian