IPOH: Isteri kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Noorul Huda Mokhtar, 53, meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) petang semalam.

Arwah menghembuskan nafas terakhir di sisi suaminya, Datuk Mohd Yusop Husin, kira-kira jam 6.30 petang.

Mohd Yusop ketika ditemui berkata, arwah dikejarkan ke hospital petang semalam meninggal dunia setengah jam kemudian sebaik tiba di perkarangan pusat rawatan.

Menurut beliau, arwah isterinya dikesan mempunyai ketumbuhan dan mengidap kanser paru-paru sejak awal tahun lalu dan penyakitnya semakin bertambah kuat sejak sebulan lalu.

“Dalam tempoh sebulan ini arwah masih boleh berjalan dan menjalani kehidupan hariannya.

“Namun, sejak tiga hari lalu dia mengalami masalah kesukaran bernafas dan tidak mempunyai selera makan,” katanya yang ditemui di kediamannya di Lengkok Tambun Permai 4 di Tambun di sini pagi ini.

Mohd Yusop berkata, arwah adalah anak ketiga daripada 11 adik beradik dan meninggalkan empat orang anak.

Katanya, jenazah arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambun selepas solat zuhur hari ini.