RAWANG – Ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Abu Bakar Yahya menafikan beliau mempunyai kuasa bagi membolehkan isterinya, Datuk Junaidah Kiting dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu berkata, isterinya dipilih atas dasar kewibawaan dan pengalaman beliau selaku ahli perniagaan dan pengasas produk kecantikan.

“Saya tidak campur dalam lantikan isteri saya, dia ada kewibawaan sendiri dan atas kebijaksanaan dia dilantik jawatan itu.

“Malah kepakaran sebagai seorang usahawan wanita maka Ahli Lembaga Pengarah yang lantik dia. Bukan saya yang lantik dia,” katanya dalam satu majlis di Rawang hari ini.

Nama Junaidah panas apabila beliau dilantik memegang jawatan tertinggi AIM itu.

Malah anak perempuan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Nurul Iman turut disenaraikan sebagai Ahli Lembaga Pengarah.

Junaidah sebelum ini mempertahankan bahawa lantikan beliau kepada jawatan itu tiada campur tangan daripada Pejabat Perdana Menteri.

Katanya, tindakan mana-mana pihak yang menuduh berlaku amalan kronisme kerana beliau merupakan isteri kepada setiausaha politik kepada perdana menteri juga tidak adil memandangkan lantikan itu diputuskan pengurusan tertinggi AIM.

“Pelantikan saya sebagai pengerusi AIM merupakan keputusan yang diputuskan oleh pihak pengurusan tertinggi AIM dan tidak ada kena-mengena serta campur tangan daripada Pejabat Perdana Menteri.

“Adalah tidak wajar ada pihak membuat dakwaan tidak berasas kononnya wujud amalan kronisme dalam pelantikan saya sebagai pengerusi AIM hanya kerana status saya sebagai isteri kepada salah seorang setiausaha politik perdana menteri,” katanya sebelum ini. -MalaysiaGazette