IPOH: Isteri kepada Penolong Penasihat Undang-undang Negeri Perak, ditemui mati dengan kesan luka di leher di dalam tasik di Bandar Seri Botani, di sini pada pagi Rabu.

Chin Ah Looi, 57, difahamkan sedang berjoging berhampiran tasik berkenaan kira-kira jam 9 pagi tadi dipercayai tergelincir dan terjatuh ke dalam tasik tersebut.

Menurut sumber, mangsa ke tebing tasik itu untuk melepaskan seekor kura-kura yang ditemuinya ketika sedang berjoging sebelum tergelincir.

“Mangsa dipercayai terjatuh dalam keadaan kepala terjunam dalam air menyebabkan lehernya tertusuk kayu yang terpacak dalam tasik.

“Kejadian itu disedari anggota Polis Bantuan, yang berkawal berhampiran kawasan rekreasi terbabit dan memaklumkan kejadian kepada pihak polis,” katanya ketika ditemui.

Katanya, mayat mangsa yang juga isteri kepada Penolong Penasihat Undang-undang Negeri, Teoh Chin Chong, dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.