MELAKA: Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) Datin Seri Rosmah Mansor hari ini menyeru isteri wakil rakyat turun padang bagi mendekati dan mendengar sendiri masalah rakyat.

Rosmah yang juga isteri Perdana Menteri berkata isteri wakil rakyat hendaklah sentiasa bersatu hati untuk bersama-sama mencurahkan bakti kepada rakyat yang benar-benar memerlukan, tidak kira masa dan di mana juga berada.

“Apabila kita berbakti, pastikan bakti yang dicurahkan, khidmat yang disampaikan dan bantuan yang dihulurkan benar-benar menyentuh hati rakyat.

“Kita perlu menggembleng tenaga dan kekuatan untuk menjadi tiang seri kepada perjuangan para suami,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Program Tahunan Isteri Wakil-wakil Rakyat Barisan Nasional SeMalaysia 2017 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, Ayer Keroh di sini.

Majlis tersebut dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi, turut hadir Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.

Badan Amal dan Usaha Isteri-Isteri Negeri Perak (Baiduri) menghantar kontinjen seramai 40 orang yang akan bertanding mempertahankan kejuaraan dalam acara badminton dan boling.

Isteri Menteri Besar, Datin Seri Saripah Zulkifli mengetuai delegasi Negeri Perak itu.

Seramai 580 peserta dari 14 negeri termasuk anggota Bakti mengambil bahagian dalam program yang berlangsung selama lima hari yang dijadual berakhir Ahad ini.

Rosmah berkata, rakyat boleh menilai setiap khidmat atau sumbangan yang disampaikan walaupun sekecil mana sumbangan itu dan setiap sumbangan dilakukan dengan niat yang suci pasti akan dihargai.

“Apabila bahang Pilihan Raya Umum Ke-14 kian terasa hari demi hari, sesungguhnya kita bakal berdepan dengan arus dan gelombang politik yang semakin mencabar,” katanya.

Beliau berkata, melihat kepada senario semasa itu, beliau ingin berpesan kepada semua isteri pemimpin dan wakil rakyat Barisan Nasional supaya sedar akan peranan dan tanggungjawab mereka.

Sementara itu, Rosmah turut memuji kesungguhan yang ditunjukkan oleh Melaka sebagai tuan rumah program itu yang turut memperkenal inovasi ICT dengan membangunkan aplikasi mudah alih yang setanding dengan aplikasi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, baru-baru ini.

Rosmah berkata, aplikasi tersebut memuatkan perkembangan terkini seperti pendaftaran peserta, jadual dan keputusan perlawanan serta paparan berita sepanjang temasya itu berlangsung.