PUTRAJAYA : Istiadat mengangkat sumpah jawatan menteri Kabinet baharu berlangsung di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Melawati di sini, hari ini.

Turut berangkat pada istiadat yang bermula jam 3 petang itu ialah Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Majlis berlangsung susulan pengumuman barisan Jemaah Menteri baharu oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

Barisan pentadbiran kerajaan baharu pimpinan Muhyiddin merangkumi 31 menteri, termasuk empat menteri kanan, serta 37 timbalan menteri. – BERNAMA