KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen kini dibenar membangkitkan isu berhubung tindakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) terhadap 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dalam sidang Dewan Rakyat, namun terhad kepada hal sivil.

Keputusan itu dibuat Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, yang dengan sendirinya menarik semula perintah tegahan sementara (interim gag order) dibuat Speaker terdahulu, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Mohamad Ariff berkata, ketetapan itu dibuat selepas meneliti beberapa amalan Parlimen antarabangsa termasuk di Australia dan United Kingdom.

Bagaimanapun, beliau tidak mengetepikan perintah tegahan sementara Mahkamah Tinggi supaya tiada perbincangan isu berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilakukan.

Ia bermakna Ahli Parlimen tidak boleh membangkitkan isu berkaitan pertuduhan jenayah berkaitan 1MDB.

“Kebenaran terbaru ini berbeza dengan keputusan Mahkamah Tinggi bagi menghormati pengasingan kuasa di negara ini.

“Prinsip subjudis tidak sewajarnya menyekat kebebasan dan hak untuk Ahli Parlimen membangkitkan perkara yang menjadi perhatian masyarakat, selagi tidak membabitkan pertuduhan jenayah berkaitan 1MDB,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Keputusan Mohamad Arif itu adalah susulan isu dibangkitkan Datuk Seri Ismail Mohamed Said (BN-UMNO Kuala Krau) pada 25 Julai lalu yang meminta pandangan berhubung perintah Pandikar Amin menghalang semua Ahli Parlimen membincangkan isu berkaitan 1MDB.

Pada 2016, Pandikar Amin menetapkan peraturan sebarang soalan berkaitan tindakan saman sivil DoJ pada sidang Dewan Rakyat tidak perlu dijawab menteri berkaitan kerana bersifat subjudis.

Sebelum ini, DoJ memfailkan saman sivil bagi mendapatkan kembali aset diperoleh melalui dana 1MDB yang didakwa diselewengkan.

Pandikar Amin dilaporkan berkata, keputusan dilakukannya itu bukan atas pengaruh atau untuk kepentingan pihak tertentu, sebaliknya berdasarkan tiga Peraturan Mesyuarat iaitu Peraturan Mesyuarat 23(1)(g), 36(2) dan 21 (1)(a) – berita harian