Oleh:Nazialita Geynna Maharan

SEBERANG PERAK: Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendedahkan ada kemungkinan wujud dalang yang cuba menimbulkan kontroversi berhubung isu beras plastik dengan tujuan menjatuhkan nama baik kerajaan.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, beliau mengesyaki dalang berkenaan hanya mengambil ruang dan peluang untuk menghangatkan spekulasi berhubung isu beras plastik ketika Pilihan Raya Umum ke-14 semakin dekat.

“Saya rasa mungkin ada unsur-unsur untuk memburukkan kerajaan terutama sekali ketika kita sedang menghadapi pilihan raya, macam-macam cerita dibuat untuk menimbulkan kontroversi, spekulasi dan kalau boleh, biar rakyat marah kepada kerajaan.

“Pemeriksaan telah dijalankan ke kilang beras Cap Rambutan, dan saya rasa begitulah, tak mungkin ada beras plastik,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Cahaya Ramadhan Felcra Berhad Seberang Perak Tahun 2017 di Masjid Al Ansar Felcra Seberang Perak pada malam Selasa.

Justeru, beliau meminta pihak berwajib termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia menyiasat dengan terperinci bagi mengesan dalang sebenar yang menimbulkan isu beras plastik itu.

Katanya, pihak MOA dan agensi terlibat akan memastikan tiada sebarang kepincangan dari segi ketelusan sekiranya hasil kajian mendapati wujud bendasing dalam beras itu seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Tajuddin berkata, beberapa siri ujian termasuk ketahanan beras, ujian iodin bagi memeriksa kandungan kanji, selain ujian bakar dan masak, telah dilaksanakan di Perak dan Kedah.

Laporan awal mendapati kesemua beras yang diambil tersebut merupakan beras tulen dan diperolehi daripada pengilang dan petani tempatan.

Tambah Tajuddin, semua maklumat yang diperolehi dari OEL Distribution Sdn Bhd telah dihantar ke Jabatan Kimia bagi analisis lanjut.

Katanya, tiada sebarang mesin pemprosesan plastik ditemui di premis pembungkusan dan pengedaran beras Cap Rambutan Super Special Tempatan 5 Peratus.