KUALA LUMPUR: Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM) berharap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membantu menyelesaikan isu persaingan di antara perkhidmatan pengangkutan awam berkenaan dengan ‘e-hailing’.

Yang Dipertuanya, Kamarudin Mohd Hussin, berkata isu yang berlarutan sejak 2012 itu sebelum ini diharap dapat diselesaikan sebaik Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan pada Mei tahun lalu.

Beliau mendakwa, GTMS sudah menghantar sekurang-kurangnya tujuh surat kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke untuk mengadakan perbincangan berhubung isu itu, namun tidak menerima maklum balas.

“Ini menyebabkan masalah dengan perkhidmatan ‘e-hailing’ berterusan sehingga ke hari ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Justeru, katanya, GTMS akan menulis surat kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk memohon pertemuan bagi menyelesaikan isu terbabit yang menekan lebih 20,000 ahli GTMS termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Kita turut merancang Perhimpunan Reformasi Teksi 2 secara besar-besaran di Putrajaya, 16 Jun ini membabitkan 150 persatuan teksi bernaung di bawah GTMS,” katanya.

Kamarudin berkata, GTMS meminta kerajaan bersikap adil dan sama rata dalam menangani isu persaingan teksi dan ‘e-hailing’.

“Ini termasuk tidak membenarkan mereka menggunakan filem atau cemin gelap kerana teksi tidak dibenarkan berbuat demikian atas faktor keselamatan,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan beberapa keputusan kementerian terbabit yang disifatkan memberi layanan istimewa kepada pemandu ‘e-hailing’, termasuk membenarkan penggunaan cermin gelap.

“Banyak kenderaan ‘e-hailing’ bercermin gelap. Keputusan menarik balik keputusan mengarahkan pemandu ‘e-hailing’ menukar kategori kenderaan mereka ke ‘e-hailing’ persendirian (AH) juga dilihat seperti menjaga kepentingan perkhidmatan berkenaan,” katanya – Berita harian