TAPAH – Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu mengingatkan ahli-ahli exco kerajaan negeri supaya tidak mengeluarkan pandangan bercanggah dengan ketetapan yang telah dibuat kerajaan negeri mengenai isu pemberian hak milik tanah kekal.

Beliau berkata, tindakan segelintir exco yang mengeluarkan pandangan bercanggah mengenai isu itu boleh mewujudkan persepsi negatif dikalangan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan negeri Pakatan Harapan.

“Saya tak berapa gembira dengan ahli-ahli exco yang memberi pandangan berbeza dengan pandangan pemimpin kerajaan melalui media. Saya rasa disiplin sebagai ahli exco itu perlu diperbaiki, masing-masing perlu faham bila masanya kita nak keluarkan pandangan dan sebagainya, bukan semua perkara itu boleh kita cakap sesuka hati.

“Ini kerana dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) sesiapa juga boleh beri pandangan, saya terbuka dan jika mahu tertutup juga boleh di pejabat saya, bila-bila masa sahaja tapi bukan secara awam, itu kurang baik,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis Korban Perdana DUN Chenderiang, di sini pada Rabu.

Tambah Ahmad Faizal lagi, ketetapan kerajaan negeri untuk mengangkat cadangan pemberian hak milik kekal tanah itu ke Majlis Tanah Negara untuk mendapat nasihat sebelum apa-apa tindakan dilakukan adalah muktamad dan tidak akan diubah.

“Kita tetap komited untuk melangsaikan semua janji-janji dalam manifesto tanpa perlu kita langgar perlembagaan dan sebagainya, janji itu akan kita cuba tunaikan dan proses itu perlu kita buat.

“Saya ulang 80 kali pun tetap perlembagaan negara kita jangan diperkotak-katikkan. Ada mengatakan ia melanggar perlembagaan, ada mengatakan ia tidak jadi, lebih baik kita bawa pandangan ini ke MTN untuk kepimpinan pusat beri arah tuju jelas bagaimana kita nak laksanakan perkara ini,” ujar beliau.

Beliau turut memberitahu satu bengkel juga akan diwujudkan dalam masa terdekat untuk membincangkan mengenai isu berkenaan oleh pihak-pihak serta pakar-pakar terlibat sebelum ianya dibawa ke MTN.

“Kerajaan negeri setakat ini sedang berusaha gigih jalankan tanggungjawab penuh amanah dan rakyat sedang memerhati.

“Mereka mahu lihat kerajaan lebih telus, berterus terang dan tidak menunaikan janji secara semboreno, itu jaminan yang hendak saya berikan kepada rakyat,” tegas beliau.

Ahmad Faizal pada 13 Ogos lalu berkata, cadangan untu kmemberikan status hak milik kekal seperti terdapat dalam manifesto Pakatan Harapan Perak adalah bercanggah dengan perlembagaan dan ia akan diangkat kepada kerajaan pusat untuk pertimbangan melalui MTN.

Namun, Exco Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar, Dr Abdul Aziz Bari melalui sidang medianya baru-baru ini memberitahu, cadangan itu sebaliknya tidak akan melanggar sebarang peruntukan undang-undang negara dan ia boleh dilaksanakan oleh peringkat kerajaan negeri sendiri.

Jelas beliau MTN hanya berkuasa sebagai perunding ataupun penasihat,manakala kerajaan negeri mempunyai kuasa ke atasurusan pindah milik hak tanah.

1/4