LUMUT: Kecewa dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Abu Bakar Husain yang masih tidak faham-faham mengenai isu yang membelenggu projek Hospital Parit Buntar, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sekiranya wakil rakyat itu mahir dalam bidang kejuruteraan, beliau akan mencadangkannya dilantik sebagai ketua jurutera projek tersebut.

Dr Zambry berkata, beliau telah beberapa kali menjelaskan kepada wakil rakyat itu mengenai projek berkenaan, termasuk ketika sidang Dewan Undangan Negeri.

Menurutnya, beliau tidak faham mengapa wakil rakyat PAS itu menuduhnya cuba mempersendakan rakyat.

Katanya, projek itu telah diumumkan oleh kerajaan tetapi malangnya cuba dimainkan oleh pihak-pihak tertentu, termasuklah daripada parti yang diwakili Abu Bakar.

“Mereka menggunakan ini bagi menimbulkan kemarahan di kalangan rakyat. Mereka menganggap, apabila kerajaan bersetuju, hari ini janji, besok kena siap,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Lestari Modal Insan Koperasi sempena mesyuarat agung Koperasi Persalam Manjung Berhad di Virgo Batik Resort, Teluk Batik dekat sini, hari ini.

Dr Zambry mengulas laporan muka depan akhbar Sinar Harian hari ini yang memetik kenyataan Abu Bakar kononnya Menteri Besar cuba mempersendakan rakyat berhubung pembinaan Hospital Parit Buntar.

Sebelum ini, beliau (Dr Zambry) memberitahu bahawa projek tiga hospital daerah iaitu di Seri Manjung, Perak Tengah dan Parit Buntar akan diteruskan seperti yang dirancang.

Beliau menjelaskan, sebelum melaksanakan projek tersebut, kerajaan membuat perancangan dan perkiraan keperluan sebenar dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak, termasuk pihak hospital.

Di samping itu, katanya, beliau juga telah menjelaskan kepada wakil rakyat Titi Serong itu bahawa tanah di Kerian dari jenis lembut, berpaya dan bekas sawah padi yang memerlukan masa untuk mampat.

“Saya ingat macam inilah, kalau dia lebih arif, dia lebih maklum, saya akan syorkan kepada pihak JKR untuk lantik beliau sebagai ketua jurutera sebab perkara ini saya dah jelaskan pada beliau tapi mengapa tuduh saya mempersendakan rakyat.

“Seolah-olah beliau lebih tahu daripada kerajaan dan beliau lebih maklum segala-galanya dan seolah-olah beliau pun lebih mahir tentang hal-hal yang berkaitan kejuruteraan,” katanya sinis.

Bagaimanapun, kata Dr Zambry, terpulang kepada Abu Bakar untuk terus mempolitikkan itu tersebut.

“Saya hormat beliau, beliau seorang ustaz, jadi tak sepatutnya apabila telah diperjelaskan berkali-kali kenapa masih lagi tidak faham,” ujarnya.

Beliau menasihatkan rakyat supaya tidak mudah termakan dengan permainan-permainan seumpama itu yang cuba dibawa pembangkang.