KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan kini dalam proses perbincangan bersama Kementerian Kesihatan berhubung amalan berkhatan membabitkan wanita di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, amalan yang dianggap budaya setempat itu sudah lama diamalkan di negara ini.

“Ini yang dimaksudkan wakil Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Laporan Berkala Sejagat (UPR) kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebelum ini.

“Ia tidak sama dengan amalan pemotongan genitalia wanita (FGM) yang diamalkan dalam kalangan wanita di Afrika.

“Untuk itu, kementerian dalam proses perbincangan dengan Kementerian Kesihatan berhubung perkara ini bagi mengenal pasti jika ada keburukan dalam amalan itu sebelum memutuskan penyelesaian,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan (SUHAKAM), Tan Sri Razali Ismail, dilapor mengkritik pendirian kerajaan berhubung amalan berkhatan membabitkan wanita di negara ini.

Kerajaan dikatakan memberi penjelasan tidak meyakinkan dan mengelirukan dalam UPR kepada PBB berhubung amalan itu.

Wakil dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berbuat demikian ketika membela amalan berkenaan pada pembentangan di Geneva, Switzerland, minggu lalu.

Pembentangan itu antara lain menyebut, FGM tidak diamalkan di Malaysia tetapi berlaku untuk bayi kerana nilai budaya – berita harian