IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir meminta semua ahli Dewan Undangan Negeri supaya tidak memainkan isu-isu kitar semula yang menurutnya hanya membuang masa sahaja.

Katanya, mereka seharusnya menggunakan kesempatan semasa perbahasan dengan membawa isu-isu baharu yang melibatkan kepentingan rakyat dan bukan isu-isu kitar semula.

“Isu-isu kitar semula tidak seharusnya terus diulang-ulang dan perlu dielakkan kerana ia akan membuang masa sahaja,” katanya semasa menggulung perbahasan di Sidang DUN pada Selasa.

Menurut Dr Zambry, meneliti perbahasan secara keseluruhannya pada kali ini, beliau menyimpulkan bahawa sidang kali ini telah berlangsung dalam keadaan baik.

Katanya, semua ahli Dewan telah memberikan pandangan dan teguran yang keseluruhannya dapat memberi faedah kepada rakyat dan negeri Perak.

“Ini termasuklah wakil Changkat Jering, (Datuk Seri) Nizar Jamaluddin buat pertama kali cukup tertib dan tidak pun menyentuh isu kegemarannya iaitu USAS, tahniah saya ucapkan,” ujarnya.