KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, memberi jaminan isu larangan merokok di persekitaran bangunan Parlimen akan diselesaikan tidak lama lagi.

“Setiap masalah pasti ada penyelesaiannya. Saya jamin isu ini akan diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Advokasi Ahli Parlimen di Bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Program berkenaan turut dihadiri Pesuruhjaya Tinggi Britain di Malaysia, Vicki Treadell dan Pengerusi Yayasan Demokrasi Westminster, Hugh Bayley.

Larangan merokok dikuatkuasakan dalam bangunan Parlimen bermula Isnin lalu.

Inisiatif berkenaan bagi memperluaskan lagi kawasan larangan merokok di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2017.

Bagaimanapun ia menimbulkan persoalan apabila larangan berkenaan tidak dimaklumkan terlebih dahulu oleh Dr Dzulkefly kepada Mohamad Ariff.

Berikutan penguatkuasaan itu, seorang Ahli Parlimen adalah antara lapan individu dikompaun kerana merokok di Parlimen yang diwartakan sebagai kawasan larangan merokok – berita harian