IPOH – Setelah hampir seharian berlangsungnya sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang acap kali menyaksikan wakil-wakil rakyat dari pihak kerajaan dan pembangkang bertikam lidah kerana perbezaan pandangan namun isu lembu telah berjaya menyatukan kedua-dua pihak.

 

Isu tersebut pada mulanya dibangkitkan oleh Chow Kam Foon (DAP – Menglembu) yang meluahkan masalah lembu ternakan yang berkeliaran sehingga membahayakan penduduk di kawasanya.

 

Kata beliau, masalah lembu ternakan yang dibiarkan lepas sekitar Menglembu telah mencetuskan rungutan penduduk sekitar kerana ia mengundang bahaya terutama kepada pengguna jalan raya.

 

“Perkara ini lebih serius apabila waktu malam, terdapat banyak kes-kes kemalangan kerana lembu ini, terbaharu terdapat seorang lelaki muda kemalangan dengan seekor lembu yang berkeliaran di jalan raya sehingga menyebabkan kematian.

 

“Saya tidak mahu lihat kes seumpama ini berulang, saya seru kerajaan negeri pandang serius isu ini, cari jalan penyelesaian kerana masalah ini sudah sekian lama dan menjejas keselamatan orang ramai,” katanya ketika membahas usul titah diraja, di sini pada Rabu.

 

Luahan Chow itu kemudiannya dicelahi oleh Loh Sze Yee (Jalong – DAP) yang turut menyuarakan masalah yang sama dihadapi di kawasanya sekitar Sungai Siput.

 

“Saya amat bersetuju dengan apa yang disampaikan Menglembu, isu lembu ini juga mendatangkan satu masalah di kawasan saya sejak sekian lama.

 

“Saya sokong gesaan Menglembu bahawa kerajaan negeri perlu mencari jalan penyelesaian atau cari satu tempat untuk mengumpul lembu-lembu ternakan ini,” ujarnya.

 

Sejurus itu, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin (BN – Changkat Jong) turut bangun dengan izin Chow menyatakan sokongan terhadap gesaan yang dibuat berkenaan isu lembu itu kerana ia turut berlaku di Changkat Jong.

 

Saranan Mohd Azhar itu turut dipersetujui ahli Dewan daripada pembangkang yang menyatakan isu sama berlaku di kawasan masing-masing.

 

Keadaan ini turut dipersetujui S. Sivasubramaniam (DAP – Buntong).

 

“Saya minta juga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) beri perhatian serius isu lembu ini. Perlu ada tindakan segera,” katanya Sivasubramaniam.

 

Melihat perkara itu, Loh kemudian bangun dan menyatakan isu lembu tersebut telah berjaya menyatu padukan kedua-dua belah pihak dan ia disambut dengan gelak tawa serta tepukan meja kedua-dua belah pihak.

 

“Nampaknya ramai wakil-wakil rakyat mahu bangun untuk menyatakan mengenai masalah ini, nampaknya isu lembu ini telah berjaya menyatukan kita semua,” ujarnya sambil tersenyum.