SHAH ALAM: Kementerian Kesihatan akan memantau perkembangan siasatan kes sebuah restoran di Teluk Intan, Perak yang disyaki meletakkan bahan khayal dalam makanan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata buat masa ini pihaknya tidak boleh mengambil sebarang tindakan kerana kes itu masih dalam siasatan polis.

“Saya baru dimaklumkan mengenai hal ini dan saya juga difahamkan perkara ini masih dalam siasatan polis. Bagaimanapun, kita akan memantau kes ini dari semasa ke semasa,” katanya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (kiri) mencuba mesin membuat ubat sambil diperhatikan Presiden MSU, Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid (dua kiri) ketika membuat lawatan tapak pameran pada Majlis Perasmian Program Khidmat Komuniti MSU Embracing Community Healthcare Outreach (ECHO) di MSU Shah Alam. – Foto Faiz Anuar

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran MSU Embracing Community Healthcare Outreach (ECHO) dan Pertukaran Memorandum Persefahaman antara Management & Science University (MSU) dengan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Semalam, sebuah restoran di Teluk Intan diperiksa polis dan Jabatan Kesihatan selepas menerima aduan pelanggan yang mengalami gejala lemah dan khayal selepas makan di premis berkenaan.

Susulan operasi bersepadu jam 11.20 pagi itu, seorang tukang masak dan dua pembantunya termasuk seorang warga Bangladesh ditahan selepas didapati positif dadah jenis opiat.

Terdahulu, mesej yang mendakwa seorang anggota polis dan tiga lagi anggota ‘sangkut’ ujian saringan air kencing selepas makan di sebuah premis di Teluk Intan dan tukang masak premis berkenaan sudah ditahan, menjadi viral di laman sosial.

Difahamkan, pemeriksaan dijalankan susulan laporan seorang anggota polis yang mengalami gejala lemah, mengantuk dan khayal selepas makan di premis berkenaan semalam.

Pemeriksaan dijalankan oleh sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak bersama pegawai Jabatan Kesihatan turut merampas beberapa jenis masakan seperti kuah makanan, ayam goreng, sayur dan nasi putih.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superintendan Yahaya Hassan, berkata sampel makanan juga sudah diambil untuk tindakan lanjut dan menegaskan ia perlu menunggu keputusan ujian kimia.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 – berita harian