IPOH : Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir akan mengambil tindakan susulan terhadap cubaan memfitnah dan berbohong susulan penutupan taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS) baru-baru ini.

Zambry dalam kenyataannya pada Rabu menegaskan tidak cukup membina persepsi jahat dengan mencipta istilah ‘Mini 1MDB’, pihak terbabit turut mengaitkan dirinya dengan dakwaan skandal yang tidak berasas.

“Sebaik sahaja penutupan taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS), ada cubaan pihak tertentu yang melemparkan fitnah kononnya berlaku skandal ketika pentadbiran kerajaan terdahulu.

“Tuduhan ini adalah fitnah yang sangat serius, berniat jahat dan sengaja direka oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk tujuan politik tertentu.

“Saya mengalu-alukan sebarang laporan audit tentang kedudukan MAPS sejak 2013 hinggalah 2019. Setiap akaun tertakluk kepada pengawasan Jawatankuasa Audit dan Firma Audit bertauliah,”katanya.

Dalam pada itu, Zambry berkata MAPS dimiliki oleh syarikat senaraian awam (public listed company) di mana semua keputusan berada dan dibuat di peringkat pengurusannya.

Ujarnya, ia tertakluk kepada syarat penyenaraian serta patuh kepada semua tatacara serta piawaian termasuk tertakluk kepada kawal selia Bursa Saham dan Suruhanjaya Sekuriti dan garis panduan Corporate Governance yang ditetapkan.

“Saya bukanlah Pengerusi atau Ahli Lembaga kepada syarikat ini, saya tetap konsisten sejak dahulu lagi bahawa sekiranya berlaku penyelewengan yang dilakukan oleh mana-mana pihak, maka tindakan hendaklah diambil selaras dengan peruntukan undang-undang,”katanya.

Dia yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pangkor berkata adalah amat mendukacitakan apabila ia dijadikan perkakas politik dengan matlamat meruntuhkan maruah dan keaiban oleh pihak yang tidak bertanggung jawab.

“Saya akan mendapatkan nasihat dan pandangan perundangan dan akan mengambil tindakan susulan terhadap cubaan untuk berbohong, memfitnah dan merosakkan nama saya oleh individu dan pihak tertentu,”jelasnya.

Sebelum ini MAPS berdepan masalah tunggakan bil elektrik hampir RM4 juta hingga menyebabkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) melakukan pemotongan bekalan elektrik.

Bagaimanapun, taman tema yang dibangunkan dengan kos RM520 juta itu ditutup mulai semalam (Selasa) sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Notis penutupan itu dikeluarkan oleh The Receiver and Manager Animation Theme Park Sdn Bhd (ATP), daripada Messrs Ernst & Young.

Segala kesulitan akibat penutupan MAPS amat dikesali, menurut notis berkenaan.