IPOH: Isu penginapan kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) XIX di Sekolah Izzuddin Shah (SIS) yang disiarkan di dalam sebuah akhbar hari ini, selesai.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan Negeri, YB Howard Lee berkata, venue penginapan di SIS ditutup sepenuhnya dan dipindahkan ke UiTM Cawangan Tapah.

Menurut beliau, SIS dipilih sebagai venue penginapan atlet kriket, tenpin boling dan sebahagian atlet badminton selepas penarikan diri Kolej Vokasional Ipoh di saat-saat akhir kerana pertindihan dengan jadual pembelajaran.

Bagaimanapun, kata beliau, disebabkan masa yang singkat, pihak yang diberi tanggungjawab untuk melakukan kerja-kerja penambaikan di SIS gagal berbuat demikian.

“Sebagai penganjur SUKMA XIX, saya memohon maaf berkenaan ketidakpuasan hati kontinjen dan saya bertanggungjawab terhadapnya,” katanya pada sidang media di Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak di sini, hari ini.

YB Howard Lee berkata, pihaknya akan berbincang dengan mana-mana kontinjen yang telah berpindah ke hotel atau homestay bagi memastikan situasi menang-menang.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, semua isu mengenai venue pertandingan telah selesai dan boleh digunakan, termasuk padang bola sepak di Kerian dan Kompleks Badminton di Ipoh.

Menurut beliau, walaupun terdapat sedikit masalah, tetapi ia tidak menjejaskan pertandingan dan dijangka dapat diselesaikan segera.

Mengenai dakwaan kononnya berlaku kelewatan pemasangan lampu jalan berhampiran Kompleks Menembak di Chemor, YB Howard Lee menjelaskan, mengikut kontrak yang diluluskan ketika pentadbiran kerajaan terdahulu, kerja-kerja itu dijadualkan siap 10 September ini.

Katanya, berlaku sedikit kelewatan projek itu kerana ia dianugerahkan sebelum masalah rumah yang dibina di atas tanah kerajaan, diselesaikan.

Bagaimanapun, beliau yakin, ia akan dapat disiapkan, walaupun mungkin berlaku sedikit kelewatan dua atau tiga peratus.