IPOH: “Dia tuntut saya minta maaf, dan saya tidak akan minta maaf kerana BN (Barisan Nasional) tidak membuat apa apa salah… Dia (Nga Kor Ming) yang patut minta maaf kepada Barisan Nasional sebab dia membuat tuduhan palsu kepada BN.”

Itulah kenyataan tegas Timbalan Pengerusi BN Perak, Datuk Saarani Mohamed ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming yang mendakwa ada bukti mengenai kewujudan lebih 165,000 pengundi hantu yang dibawa masuk ke dalam negeri ini menjelang Pilihan Raya Umum ke-14.

Menurut Saarani, tidak ada sebab mengapa beliau dan BN Perak perlu meminta maaf kepada pakatan pembangkang, malah beliau menempelak tindakan Kor Ming yang sering mereka-reka cerita.

“Kor Ming mencabar saya… Dia menyebut kalau saya tak minta maaf maka dia nak buat laporan polis. Itu silakan… mengenali dia seorang peguam kalau dia benar-benar yakin bahawa dengan  membuat laporan polis boleh menyebabkan saya terpenjara teruskan… tak perlu tunggu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Pelancaran MARA Digital@Ipoh, di Bazar MARA Medan Jaya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan supaya Kor Ming berhenti mempertikaikan tentang Daftar Pemilih kerana ia di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Dia seorang ahli politik yang agak lama, sama dengan saya. Lagi banyak dia bercakap, lagi orang nampak, jadi kerana itu saya nak ingatkan sekali lagi, kerja urusan daftar pemilih ini bukan urusan BN, itu kerja SPR,’’ tegas Saarani.