TELUK INTAN – Masalah sampah antara isu yang sering dibangkitkan rakyat di kawasan ini walaupun berbagai tindakan dijalankan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) menangani isu ini.

Yang Dipertua MPTI, Azizan Abd Muin berkata, pihaknya memandang serius masalah pembuangan sampah secara haram di Teluk Intan dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak.

“Kita lihat saja sesi Town Hall bersama MPTI hari ini di mana kebanyakan aduan yang kita terima adalah berkaitan masalah sampah selain masalah jalan dan longkang.

“Pihak MPTI sentiasa melakukan kerja-kerja memungut sampah mengikut jadual yang ditetapkan tetapi sikap pengguna membuang sampah di luar tong sampah misalnya menyebabkan masalah ini tiada penghujungnya,” katanya selepas program Town Hall Meeting 1/2018 MPTI Bersama Komuniti di Dewan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Phooi Yong, di Jalan Pasir Bedamar, kelmarin.

Menurut Azizan lagi, pihaknya akan meminta kerjasama wakil rakyat di kawasan terlibat untuk berbincang dengan masyarakat setempat supaya tidak membuang sampah secara haram atau di luar tong sampah yang disediakan.

“Jika ini tidak dapat diatasi bagaimana kita mampu memenuhi hasrat pelbagai pihak untuk melihat Teluk Intan yang bersih lebih-lebih lagi kawasan kita merupakan lokasi pelancongan,” katanya.

Sementara itu, Adun Pasir Bedamar, Terence Naidu berkata, sesi Town Hall yang dianjurkan oleh MPTI dan dihadiri oleh pelbagai agensi dan jabatan kerajaan terlibat memberi peluang kepada rakyat untuk membuat aduan secara terus.

“Kita lihat aduan yang dilontarkan mereka merupakan aduan yang benar-benar berlaku dan ia terus mendapat maklum balas terus dari ketua jabatan dan agensi terlibat dalam mengatasi masalah yang dihadapi.

“Semua masalah yang kita dengari hari ini akan dijadikan panduan dan cadangan untuk melaksanakan rancangan Teluk Intan sebagai sebuah bandar yang terus membangun tanpa meminggirkan kebajikan rakyatnya,” katanya.