IPOH – Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr. Abdul Aziz Bari menafikan dakwaan beberapa pihak bahawa berlaku perpecahan di dalam kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan berikutan isu pemberian hak milik tanah 999 tahun kampung-kampung baru di negeri ini.

Menurutnya, isu berkenaan sudahpun dipersetujui kalangan pemimpin Pakatan Harapan yang kini merupakan kerajaan yang memerintah.

Beliau berkata, ketidakfahaman orang ramai dalam isu itu termasuk tindakan sesetengah pihak yang cuba mengeruhkan keadaan menyebabkan ada yang beranggapan terdapat perselisihan dalam kalangan pemimpin kerajaan PH di negeri ini.

Ujarnya, tidak timbul langsung isu merampas tanah orang Melayu dan diberikan kepada orang Cina malah tiada kerajaan yang tergamak menghalau penduduk dari penempatan mereka.

“Sebenarnya ramai tidak tahu mereka telah tinggal di situ puluhan tahun dan ada sebelum merdeka lagi. Tidak ada kerajaan mana pun yang tergamak menghalau mereka dari situ,” katanya.

Beliau berkata dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Pinjaman Pengajian Tinggi Negeri Perak sesi 2018/2019 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Gazali Jalal.

Menurut beliau, pelan perancangan berhubung perkara itu juga sudah disediakan sejak Jun lalu iaitu sebulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Katanya, pelan tersebut mengandungi perincian dan langkah-langkah yang perlu dilakukan bagi membolehkan janji-janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) itu dilaksanakan dengan tersusun dan tidak melanggar peraturan dan undang-undang sedia ada.

“Sebab itu disebut dalam pemerincian manifesto itu, ia mengikut prosedur dan undang-undang yang ada dan disana disebut soal tempoh supaya tidak terlalu lama kerana tidak melibatkan tanah baharu tetapi tanah lama.

“Kita juga menyebut tidak akan mendatangkan kesan yang negatif terhadap hasil kerajaan. Banyak perkara yang disebut bukan hanya mahu beri dan rampas sahaja,” katanya.

“Itu sudah disebut dalam manifesto, jadi soal meneruskan atau tidak, tidak timbul kerana kita mahu tunaikan janji.

“Macam di peringkat pusat pun kerajaan melalui pentadbiran baharu dituntut melaksanakan apa yang dijanjikan,” tambah beliau lagi.

Terdahulu, media melaporkan TImbalan Speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming menyanggah laporan yang mendakwa partinya memberi tekanan kepada Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu berhubung isu hak milik kekal tanah.

Pada laporan itu, Kor Ming sebaliknya mendakwa hubungan DAP dengan Ahmad Faizal berada dalam keadaan baik, malah mereka bekerja sebagai satu pasukan serta saling hormat-menghormati.

Pada laporan itu Kor Ming juga menyatakan DAP Perak akan berdiri teguh bersama Menteri Besar Perak dan memberi sokongan padu kepada pimpinan PH yang membawa kesejahteraan hidup kepada seluruh rakyat negeri serta membawa pembangunan ekonomi pesat kepada negeri yang tercinta.