IPOH: Pembangkang Perak mendakwa kerajaan negeri cuba mengelirukan rakyat dalam isu pembelian 16 buah kereta rasmi Toyota Camry bagi menggantikan Proton Perdana.

Mereka mendakwa jawapan beberapa wakil kerajaan negeri, termasuk semasa sidang Dewan Undangan Negeri pada Julai lalu mengatakan kereta itu dibeli dengan harga yang jauh lebih murah selepas mendapat pengecualian cukai.

Ketua pembangkang, Datuk Saarani Mohamad berkata, jawapan itu bercanggah dengan penjelasan Kementerian Kewangan, semalam.

“Mengapa perlu ditipu rakyat, mengapa perlu disembunyikan fakta sebenar, kalau betul tidak ada pengecualian, beritahulah, kami beli dengan harga RM191,000.

“Apa perlu ditipu rakyat. Perkara ini kena dijelaskan oleh kerajaan negeri, Menteri Besar kena jelaskan dan juga orang yang jawab soalan itu pun dengan jawab dengan sebenar-benarnya. Jawap dengan lidah yang fasih, jangan cuba berselindung,” katanya.

Beliau ditemui pada sidang media khas di sini, hari ini sebagai mengulas kenyataan Kementerian Kewangan bahawa pihaknya tidak pernah menerima permohonan untuk pengecualian duti atau cukai atas perolehan Toyota Camry tersebut.

Turut hadir 25 daripada 28 Ahli Dewan Undangan (ADUN) pembangkang yang kebetulan menghadiri menghadiri bengkel reformasi Dewan Negeri Perak di tempat yang sama.

Exco Perak, Asmuni Awi, bulan lalu memberitahu Dewan Undangan Negeri bahawa, kerajaan negeri menerima rebat serta beberapa diskaun lain dengan nilai keseluruhan RM81,000 setiap unit.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam reaksinya semalam pula berpendapat pembelian kereta itu tetap berpatutan walaupun dikatakan tidak mendapat pengecualian cukai.

Sementara itu, Saarani memberitahu, semua wakil rakyat pembangkang sepakat untuk hanya menghantar serentak borang perakuan pengisytiharan harta kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Speaker DUN Perak, Datuk Ngeh Koo Ham yang ditemui pada sidang media selepas itu berkata, semua wakil rakyat perlu mematuhi peraturan yang telah diluluskan semasa sidang DUN yang lalu.