PETALING JAYA : Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berharap tidak akan ada unsur pilih kasih dalam menangani isu Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu didakwa bercakap mengenai usaha melindungi kepentingan Melayu melawan “puak-puak DAP” sebagaimana tular di media sosial.

Ini susulan keputusan parti itu untuk merujuk anggota jawatankuasa eksekutif pusat, Ronnie Liu kepada jawatankuasa disiplin parti itu, bulan lalu selepas beliau mengkritik Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan mencadangkan Pakatan Harapan (PH) boleh membentuk kerajaan tanpa PPBM.

Kenyataan tersebut mencetuskan reaksi dan kemarahan pemimpin PPBM, dengan sayap pemudanya menggesa DAP mengambil tindakan tatatertib terhadap Liu.

“Kami mahu keputusan yang adil untuk semua orang,” kata Lim kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen DAP Selangor di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas isu membabitkan Ahmad Faizal mengenai “pertempuran sendiri” dengan puak-puak tertentu dalam DAP di dalam kerajaan negeri Perak.

Dalam satu video yang tular media sosial baru-baru ini, Faizal dilihat berbual dengan sekumpulan orang dipercayai pengundi di Tanjung Piai.

Beliau dirakamkan menyebut mengenai bagaimana beliau berhadapan dengan ahli dewan undangan DAP mengenai beberapa isu, termasuk isu tanah Melayu. Bagaimanapun, Faizal dilaporkan berkata komennya telah diambil di luar konteks perbincangan.

Mengulas lanjut, Lim menegaskan perkara itu perlu diselesaikan secara dalaman dan tidak ditangani secara terbuka.

“Saya fikir ia patut diselesaikan selepas pilihan raya kecil Tanjung Piai untuk memastikan tiada standard ganda di PH.”