PEKAN NANAS : Muhyiddin Yassin berkata video mirip Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu yang tular, memaparkan seorang individu bercakap mengenai usaha melindungi kepentingan Melayu, bukan perkara besar.

Presiden PPBM itu akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada Faizal mengenai isu itu, malah beliau sendiri tidak mengikut isu itu sepenuhnya.

“Itu biasalah, mungkin sebab dia daripada PPBM. Tetapi kedudukan dia sebagai menteri besar boleh membantu (orang Melayu), itu pengalaman peribadi beliau,” katanya pada sidang media ketika pertemuan dengan polis petang tadi.

“Itu laman peribadi tetapi apa pun beliau menteri besar dan DAP rakan penting di kerajaan Perak,” tambahnya.

Terdahulu tular video mirip Faizal yang berkata di Perak beliau seorang terkontang-kanting melawan “puak-puak DAP”.

“Saya nak pertahankan tanah orang Melayu. Saya nak perjuangkan agama kita,” kata video itu.

“Saya buat itu perlahan-lahan, tapi Alhamdulillah…kat sana (Perak) kawan-kawan Umno saya tak adalah marah saya macam ini. Kawan-kawan Umno baik dengan saya.”

Sementara itu, Muhyiddin juga percaya penularan video itu tidak akan menjejaskan kempen Pakatan Harapan di Tanjung Piai.

Muhyiddin berkata ia kes terpencil dan PH berkempen secara sihat di Tanjung Piai tanpa mahu ketepikan mana-mana pihak.

“Di Tanjung Piai, pemimpin DAP turun. Lim Kit Siang turun, Lim Guan Eng dan Teo Nie Ching akan turun.

“Ini perjuangan PH bukan perjuangan DAP atau PPBM. Apa pun keadaan kita harap dapat sokongan kepada pengundi,” katanya.