SHAH ALAM – Tindakan membenarkan anak luar nikah berbin atau berbintikan nama bapa biologinya kerana menjaga maruah anak tersebut tidak harus timbul dan tidak wajar diberi keutamaan berbanding perbuatan zina ibu dan bapa biologinya yang merupakan satu jenayah dan dosa besar.

Mufti Selangor, Datuk Setia Mohd Tamyes Abd Wahid berkata, tindakan ini akan menyebabkan kekeliruan nasab umat Islam dan mengundang pelbagai masalah dalam pelaksanaan undang-undang kekeluargaan Islam berkaitan perwalian, hadhanah (penjagaan anak) dan pengagihan harta pusaka bagi orang Islam.

“Bagi mengelakkan kerosakan dalam keturunan umat Islam, maka Jawatankuasa Fatwa Selangor telah membuat fatwa berdasarkan seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang telah diwartakan pada 28 April 2005 yang menghuraikan keadaan-keadaan yang boleh mengesahkan status anak itu sebagai anak tak sah taraf.

“Pertamanya, anak yang dilahirkan tanpa nikah sama ada hasil daripada zina, rogol atau melalui cara saintifik yang bertentangan dengan Hukum Syarak.

“Kemudian, anak yang dilahirkan kurang daripada enam bulan dua lahzah qamariah dari waktu ‘imkan al-dukhul’ dan bukan hasil daripada persetubuhan syubhah.

“Dan yang ketiga, anak yang dilahirkan lebih daripada enam bulan dua lahzah qamariah dari waktu ‘iimkan al-dukhul’ selepas akad yang sah, namun demikian terdapat pengakuan daripada suami atau isteri bahawa anak yang lahir itu adalah hasil daripada persetubuhan luar nikah,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Dalam hal yang sama di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 ada memperuntukkan penentuan kesahtarafan anak yang dilahirkan daripada perkahwinan seorang lelaki dan perempuan yang melebihi enam bulan qamariah dari tarikh perkahwinannya.

Jawatankuasa Fatwa juga menegaskan bahawa sebarang pertikaian hendaklah dirujuk kepada pihak berkuasa utama dalam Hukum Syarak yang diiktiraf oleh undang-undang.

Keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan sebagai badan penyelaras di peringkat pusat mengenai anak tak sah taraf juga perlu dihormati bagi mengelakkan kekeliruan dan perpecahan umat.

“Perlu ditegaskan bahawa menurut Seksyen 49 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 fatwa yang disiarkan dalam Warta hendaklah mengikat tiap-tiap orang Islam yang berada di Negeri Selangor sebagai ajaran agamanya dan hendaklah menjadi kewajipannya di sisi agama Islam untuk mematuhi dan berpegang dengan fatwa itu.

“Seksyen yang sama juga memperuntukkan bahawa sesuatu fatwa yang telah diwartakan hendaklah diiktiraf oleh semua Mahkamah di dalam negeri berkenaan tentang semua perkara yang dinyatakan dalamnya.

“Jawatankuasa Fatwa Selangor juga menyokong tindakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang masih merujuk kepada keputusan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan dalam isu pendaftaran bagi anak tak sah taraf yang melibatkan orang Islam kerana berkaitan dengan Hukum Syarak.

“Ini adalah kerana JPN sebagai pihak yang mendaftarkan kelahiran masih terikat untuk mematuhi undang-undang Syariah yang terpakai ke atas orang Islam.

“Kita juga mengalu-alukan tindakan JPN melalui Jabatan Peguam Negara untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan tersebut ke Mahkamah Persekutuan dan Mais akan memohon kebenaran mencelah dalam rayuan tersebut.

“Ini adalah sebagai satu usaha untuk memelihara agama dan memartabatkan kedudukan undang-undang Islam di negara ini selaras dengan kehendak hukum syarak dan kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan Negeri,” katanya.

-Sinarharian